Pages

Subscribe:

Friday 30 September 2011

Anwar Kini Serba Salah

TELOK KEMANG 30 Sept – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada dalam kedudukan serba salah dalam isu hukum hudud sama ada mahu menyebelahi Pas yang mahu melaksanakan undang-undang itu atau DAP yang menentangnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, ini kerana, beliau mahu mendapatkan sokongan ahli-ahli Pas tetapi tersepit kerana Pengerusi DAP, Karpal Singh adalah peguam bela dalam kes liwat beliau.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, oleh kerana itu, rakyat boleh melihat pakatan pembangkang tidak membuat pendirian yang jelas mengenai isu itu selepas mereka mengadakan mesyuarat malam kelmarin.

“Anwar serba salah kerana dia mahukan sokongan Pas tetapi pada masa yang sama peguam belanya adalah Karpal Singh. Sebab itu jawapan yang diberikannya banyak dolak-dalik,” katanya kepada para pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Galeri Sejarah Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad di sini, semalam.

Menurutnya, pakatan pembangkang akan terus mencipta pelbagai isu dan membangkitkan dakwaan dengan harapan rakyat akan menyokong mereka.

Umpamanya di peringkat negeri ini, katanya, mereka mendakwa akan dapat menawan Negeri Sembilan dengan mudah pada pilihan raya umum akan datang.

“Dakwaan ini hanya untuk menyenang hati penyokong mereka saja dan berharap mereka tidak akan hilang keyakinan dan berubah pendirian,” katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Ahli PAS Tolak Hudud Ditempelak

KOTA BHARU 30 Sept. - Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyelar sikap sesetengah pihak dalam parti itu sendiri yang marah apabila kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membangkitkan isu hukum hudud.

Mohd. Amar yang juga Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Kebudayaan Kelantan berkata, adalah tidak wajar golongan ini bersikap sedemikian atas alasan bimbang menakutkan orang bukan Islam dan menyebabkan mereka lari daripada menyokong Pas.

Beliau berkata, sikap sebegini yang lebih mengutamakan laba politik seolah-olah menunjukkan Pas sanggup menang pilihan raya biarpun dalam kemurkaan Allah kerana tidak serius memperjuangkan hukum-Nya.

"Adakah kita sendiri pula mahu menang pilihan raya dengan keredaan Allah atau kerana mahukan keredaan orang bukan Islam, maka kita sanggup ketepikan hukum Allah?

"Politik satu hal, tapi jangan kerana mabuk mahu menguasai Putrajaya, maka kita meninggalkan perjuangan sebenar Pas, walhal orang lain (DAP) sampai sekarang berpendirian teguh menegakkan idea sekular mereka, tapi kita sendiri kenapa pula nak tinggalkan perjuangan kita?

"Saya bukanlah hendak bergaduh dengan sesiapa tetapi pelaksanaan hukum hudud adalah tuntutan agama dan ini adalah amanah rakyat yang mengundi Pas sejak 21 tahun lalu," katanya semasa menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini, hari ini.

Selain menempelak sikap dalam kalangan partinya sendiri, Mohd. Amar berkata, semua pihak yang menentang terutamanya Pengerusi DAP, Karpal Singh sepatutnya menghormati pendirian Pas dalam isu ini kerana ia hanya melibatkan penganut agama Islam.

Beliau berkata, peluang sepatutnya diberi kepada kerajaan Kelantan yang pada dasarnya sudah bersedia termasuk Mahkamah Syariah negeri melalui Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad yang dikatakan bersetuju melaksanakannya bila-bila masa.

"Saya hairan kenapa Karpal Singh mahu bising kerana hukuman ini adalah untuk orang Islam yang melakukan kesalahan, jadi kenapa mereka takut, begitu juga dengan Kerajaan Persekutuan, kita hanya minta ia dilaksanakan di negeri Kelantan terlebih dahulu yang boleh menjadi 'makmal' amali untuk dicontohi negeri lain," katanya.

Beliau berkata, walaupun kini pelaksanaannya terhalang kerana kekangan dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 yang perlu dipinda di Parlimen terlebih dahulu, Pas dan kerajaan negeri akan terus bersabar dan tetap bercakap mengenai hudud meskipun tidak disukai sekutu sendiri dalam pakatan pembangkang.

Katanya, sekiranya rakyat memberikan sokongan sepenuhnya kepada Pas di peringkat negeri dan Parlimen, tidak ada alasan lagi untuk hukum hudud dihalang pada masa hadapan.

UTUSAN MALAYSIA